Sri Sultan Ahmad Shah Pahang

Darjah Kebesaran Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang yang membawa gelaran Dato’ Sri adalah dicadangkan bagi kurniaan sebagai satu kehormatan yang istimewa terutamanya kepada mereka yang telah memberikan perkhidmatan terpuji dan cemerlang kepada Raja Pemerintah, Negeri Pahang Darul Makmur dan rakyat keseluruhannya.Pengurniaan ini biasanya diberikan kepada Pegawai Kerajaan Kumpulan Turus atau yang setaraf dengannya dalam Perkhidmatan Kerajaan, Badan-Badan Berkanun atau Penguasa-Penguasa Tempatan atau kepada sesiapa sahaja yang difikirkan layak menerimanya.Kalung Darjah Kebesaran ini hendaklah mengandungi empat keping emas besar, dua belas keping emas kecil dan dicantumkan dengan rantai emas. Di muka bagi tiap- tiap kepingan emas ini terletak sama ada ukiran Lambang Kebesaran Negeri Pahang, keris berwarna hitam putih, perkataan "Dilindungi Allah" dalam tulisan Jawi, daun kopi dan bintang berbucu dua belas. Bintang Darjah Kebesaran ini berupa bintang yang diperbuat daripada emas 18 karat dan enamel berwarna putih. Bintang Darjah Kebesaran ini berupa bintang yang berbucu lima dan mempunyai lima pasang bulan bintang. Di tengah-tengah Bintang ini terletak Lambang Kebesaran Negeri Pahang. Lencana hendaklah berupa ukiran bintang lima bucu diperbuat daripada emas dan dimukanya terletak ukiran, diperbuat daripada emas, wajah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Shah Riband atau Selepang Darjah Kebesaran ini hendaklah selepang panjang sutera selebar 3½ inci berwarna hijau bertepikan jaluran kuning dengan tiga jaluran kuning di tengah-tengahnya.[1]